MAIPk Belanja Lebih RM1.8 Juta Perkasa Asnaf dalam 5 Kursus Bidang Oil & Gas
IPOH, 22 Jun 2025 – Seramai 120 belia asnaf menyertai Program Latihan Kemahiran Asnaf MAIPk bagi lima kursus utama dalam bidang Oil & Gas, iaitu Blasting & Painting, Rigger, Scaffolding, serta Gas Pipe & Fitting. Seramai 60 peserta yang diraikan pada hari ini merupakan kumpulan kedua selepas kumpulan pertama, juga seramai 60 orang, yang telah menamatkan latihan dan kini sedang menjalani penempatan pekerjaan di Paka, Terengganu.
Inisiatif melahirkan pekerja mahir dalam kalangan asnaf ini adalah sebahagian daripada usaha strategik MAIPk bagi memperkasakan ekonomi golongan asnaf negeri Perak. Lebih RM1.8 juta telah dibelanjakan bagi melatih hampir 200 orang peserta untuk memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam industri Oil & Gas.
Satu sesi inspirasi bertajuk “Mengubah Takdir dengan Tangan Sendiri” turut diadakan sebagai suntikan semangat kepada para peserta. Sesi tersebut disampaikan oleh Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf, Amirudin bin Osman, yang memberikan dorongan dan motivasi kepada peserta untuk mengubah masa depan mereka selepas tamat latihan.
Majlis Perasmian Pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi MAIPk, Wan Maizura binti Wan Zahari. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa bidang TVET merupakan antara jalan utama menuju kejayaan masa hadapan. Beliau turut berkongsi kisah suka dan duka sebagai inspirasi kepada para peserta.
Turut hadir memeriahkan majlis Ketua Pegawai Eksekutif, SRC Global Resources Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Norhisham bin Mohd Ariffin, Pengurus Perniagaan, MARA Excellent Ventures Sdn. Bhd., Muhammad Saiful bin Mohd Khairi, dan Ketua Jabatan TVET, MARA Excellent Ventures Sdn. Bhd, Muhammad Iskandar Dzulkarnain bin Mohd Zaidi.







