60 ASNAF KINI BERSEDIA BEKERJA DI INDUSTRI MINYAK & GAS
KEMAMAN, 21 Julai 2025 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) terus komited memperkasa golongan belia asnaf melalui bidang kemahiran dengan penganjuran Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi 60 peserta pengambilan kedua Program Latihan Kemahiran Minyak & Gas, yang berlangsung di Darul Iman Training Centre (DITC), Kemaman, Terengganu.
Para peserta telah berjaya menamatkan latihan intensif dalam tiga bidang utama industri minyak & gas:
1. Rigger Scaffolding TG20
2. Blasting and Painting
3. Gas Pipe Fitting
Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf, Amirudin bin Osman. Program ini merupakan salah satu inisiatif pemerkasaan ekonomi MAIPk yang menyasarkan pembangunan kemahiran tinggi dalam kalangan asnaf muda. Semua peserta menerima tajaan penuh menerusi dana zakat, dan kini bersedia untuk memulakan penempatan kerja di beberapa lokasi strategik seperti Pasir Gudang (Johor), Paka (Terengganu), dan Lunas (Manjung).
MAIPk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pembayar zakat yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan program ini. Wang zakat yang disalurkan bukan sahaja mengubah kehidupan individu, malah memberi impak berpanjangan kepada keluarga dan komuniti.







