MAIPk SANTUNI KELUARGA MANGSA KEBAKARAN
SUNGKAI, 1 Ogos 2025 – Prihatin terhadap nasib yang menimpa mangsa musibah kebakaran, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Cawangan Tapah diwakili oleh Pengurus Besar Zon Selatan, Wan Abdul Halim Hafiidz bin Mohd Amin telah menziarahi keluarga Hapisah binti Herman di Felda Trolak Selatan, Sungkai bagi menyampaikan sumbangan tunai segera.
Kebakaran tersebut telah mengakibatkan sebahagian besar kediaman mangsa musnah, termasuk pelbagai kelengkapan seperti mesin penyejuk beku, peti sejuk dan chiller.
Sumbangan MAIPk telah disampaikan oleh Orang Besar Jajahan Batang Padang, YDH Dato’ Haji Mat Rasid bin Ayob. Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga berkenaan sebagai tanda keprihatinan.
MAIPk terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai agensi yang mengagihkan zakat di negeri Perak, termasuk menyantuni mangsa bencana serta memastikan bantuan segera sampai kepada mereka yang memerlukan. Usaha ini adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh MAIPk dalam membantu meringankan beban asnaf dan golongan terkesan melalui dana zakat yang diamanahkan.





