• 26
    Soalan Lazim
  • 26
    Hubungi Kami
  • 26
    Aduan & Maklum Balas
  • 26
    Peta Laman
  • 26
    Soal Selidik
  • Utama
  • Profil
  • Piagam Pelanggan
  • Berita Maipk

60 ASNAF KINI BERSEDIA BEKERJA DI INDUSTRI MINYAK & GAS

KEMAMAN, 21 Julai 2025 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) terus komited memperkasa golongan belia asnaf melalui bidang kemahiran dengan penganjuran Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi 60 peserta pengambilan kedua Program Latihan Kemahiran Minyak & Gas, yang berlangsung di Darul Iman Training Centre (DITC), Kemaman, Terengganu.

Para peserta telah berjaya menamatkan latihan intensif dalam tiga bidang utama industri minyak & gas:
1. Rigger Scaffolding TG20
2. Blasting and Painting
3. Gas Pipe Fitting

Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf, Amirudin bin Osman. Program ini merupakan salah satu inisiatif pemerkasaan ekonomi MAIPk yang menyasarkan pembangunan kemahiran tinggi dalam kalangan asnaf muda. Semua peserta menerima tajaan penuh menerusi dana zakat, dan kini bersedia untuk memulakan penempatan kerja di beberapa lokasi strategik seperti Pasir Gudang (Johor), Paka (Terengganu), dan Lunas (Manjung).

MAIPk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pembayar zakat yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan program ini. Wang zakat yang disalurkan bukan sahaja mengubah kehidupan individu, malah memberi impak berpanjangan kepada keluarga dan komuniti.






PROGRAM MESRA HARI BERTEMU PELANGGAN KERAJAAN NEGERI PERAK SIRI 5/2025

IPOH, 21 Julai 2025 – Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 5/2025 telah berlangsung dengan jayanya di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Turut hadir mewakili Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) ialah Pengurus Bahagian Komunikasi Strategik, Sekretariat dan Adat Melayu, Muhammad Naquib bin Mohamd Tarmizi, yang berkesempatan menyantuni para pengunjung serta mendengar sendiri pandangan dan maklum balas yang dikongsikan.

MAIPk amat mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menjadi mata dan telinga ummah dalam menyampaikan maklumat berkaitan golongan asnaf yang memerlukan perhatian serta bantuan.

Dengan kerjasama masyarakat, segala maklumat berkaitan asnaf dapat disalurkan dengan lebih berkesan, seterusnya memastikan setiap asnaf disantuni dan manfaat zakat dan wakaf dimaksimumkan demi kemaslahatan umat Islam di negeri Perak.




ANAK IMAM MASJID KAMPUNG KUAK LUAR, PENGKALAN HULU RANGKUL KEPUTUSAN MUMTAZ TIGA TAHUN BERTURUT-TURUT DI UNIVERSITI AL-AZHAR, MESIR

KAHERAH, 21 Julai 2025 - Abu Bakar bin Kasimi, mahasiswa Tahun 3 Fakulti Usuluddin (Pengkhususan Aqidah dan Falsafah) Universiti Al-Azhar, Mesir, berjaya mengekalkan keputusan cemerlang Mumtaz untuk tahun ketiga berturut-turut, susulan pengumuman keputusan peperiksaan sesi pengajian 2024/2025 oleh pihak universiti.

Anak kepada seorang pesara guru KAFA yang kini bertugas sebagai imam Masjid Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu, merupakan penerima tajaan Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) di bawah Skim Dermasiswa Luar Negara.

Lebih membanggakan, beliau merupakan satu-satunya pelajar Malaysia yang tersenarai dalam 10 pelajar terbaik daripada kira-kira 300 mahasiswa Tahun 3 Fakulti Usuluddin.

Semoga kecemerlangan yang ditunjukkan dapat diteruskan pada tahun akhir pengajiannya bagi sesi 2025/2026, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada para mahasiswa lain, khususnya anak-anak Perak.

MAIPk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pembayar zakat Perak Darul Ridzuan atas sokongan dan komitmen berterusan dalam membantu pelajar-pelajar tajaan kami seperti Abu Bakar bin Kasimi dan rakan-rakannya di Mesir.


MAIPk Sumbang 28 Unit Komputer Riba kepada Pelajar Kurang Berkemampuan SMK Kampong Pasir Puteh

MERU, 19 Julai 2025 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) terus komited menyokong kecemerlangan pendidikan dalam kalangan pelajar asnaf melalui sumbangan kemudahan teknologi pendidikan.

Bertempat di Hotel Casuarina @ Meru, telah berlangsung Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang SMK Kampong Pasir Puteh, yang turut menyaksikan penyampaian sumbangan sebanyak 28 unit komputer riba bernilai RM49,000 kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan bagi membantu kelangsungan pembelajaran mereka.

Sumbangan telah disampaikan oleh Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Suhaimi bin Yusoff. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MAIPk dalam memperkasa pendidikan anak-anak asnaf serta memastikan mereka tidak tercicir daripada sistem pendidikan akibat kekangan kemudahan asas.




.
.
.
.
.
.
.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Bantuan
Scan Kod QR Borang Bantuan pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Aduan Awam
Scan Kod QR Borang Aduan Awam pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.